Agrobank dan MADA Pergiat Usaha Bantu Golongan Pesawah
ALOR SETAR- Dalam usaha memperkasakan industri padi di Malaysia, Agrobank dan
Lembaga Kemajuan Petani Muda (MADA) hari ini telah meraikan kerjasama strategik untuk
memperkenalkan program khusus sebagai modal pusingan untuk pesawah individu di bawah
Pertubuhan Kawasan Peladang (PPK) seliaan MADA.
Menerusi program pembiayaan ini, Agrobank menawarkan pembiayaan kepada pesawah
dengan nilai minimum RM1,000 sehingga maksimum RM50,000 (mengikut keluasan sawah
padi) untuk tempoh lima tahun dengan kadar keuntungan 2.75% dan tanpa cagaran.
Upacara simbolik ini telah disempurnakan oleh Puan Masaat Awadz yang menangung tugas
Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan YBhg Dato’ Faozi Ali, Pengurus Besar MADA
sambil disaksikan oleh YB Dato’ Wira Othman Aziz, Pengerusi MADA yang juga merupakan
Timbalan Menteri Kewangan 1 serta YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi
Agrobank.
Menurut Puan Masaat Awadz, yang Menangung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif
Agrobank, sebagai sebuah bank yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti
pertanian, Agrobank gigih meningkatkan kerjasama dengan rakan strategik seperti MADA
sebagai usaha untuk mempertingkatkan akses pembiayaan yang lebih menyeluruh bagi
komuniti pertanian terutamanya golongan pesawah.
“Kerjasama antara MADA dan Agrobank ini dapat memberi solusi pembiayaan pesawah melalui
pengurusan modal yang lebih efisien dan berpatutan. Modal ini diharap dapat memangkin
usaha pesawah dan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada produktiviti ladang
dan peningkatan hasil secara sepenuhnya,” kata Puan Masaat.
Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis penyampaian surat pembiayaan kepada lima (5)
pelanggan-pelanggan Agrobank serta majlis penyampaian sijil kepada tiga (3) AGROAgent
terbaik MADA.
Majlis telah dihadiri 400 orang tetamu yang terdiri ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan di
bawah kelolaan MADA.