AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

8 syarikat dan individu prihatin taja Kad Perlindungan Takaful Agro Nurani kepada 350 Orang Kurang Upaya di Kedah



ALOR SETAR – Seramai 350 orang Orang Kurang Upaya (OKU) dari negeri Kedah menerima penajaan kad perlindungan diri Takaful Agro Nurani dari syarikat-syarikat tempatan di Kedah dengan nilai perlindungan sebanyak RM4.41 juta. Penajaan kad Takaful ini telah disampaikan kepada Encik Azmi Abdul Karim, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah oleh Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank. Karnival Kewangan Kedah yang berlangsung sepanjang tiga (3) hari dari 19 sehingga 21 Januari 2018.

Turut hadir, lapan (8) wakil penaja iaitu Delima Mastiara Edar (Kedah) Sdn. Bhd, Smartfood Venture Sdn. Bhd, MMK Spices Sdn. Bhd, Azizie & Sharifah, Tuan Hj Amirrodun Bin Hj Abd Hamid, Rosaidi, Mustafa & Harryzan, En. Abdullah Bin Nayan.

Agro Nurani adalah skim perlindungan Takaful yang pertama diperkenalkan di Malaysia khusus untuk golongan OKU. Produk ini telah dilancarkan di Karnival Kewangan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 14 Januari 2017 lalu oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Agro Nurani merupakan skim Takaful yang ditawarkan untuk OKU berusia 16 hingga 65 tahun yang menawarkan manfaat menyeluruh termasuk perlindungan kemalangan, kematian akibat kemalangan, kematian akibat penyakit biasa dan juga elaun tunai wad (akibat kemalangan). Lebih istimewa lagi, Agro Nurani juga menawarkan manfaat perbelanjaan pengkebumian.

Pengenalan produk Agro Nurani oleh Agrobank adalah seiring dengan mandat Agrobank untuk menyokong usaha kerajaan untuk memperluaskan rangkuman kewangan dengan menyediakan kemudahan kewangan kepada golongan yang tidak atau kurang mendapat liputan seperti golongan OKU.