AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Program Celik Wang – Inisiatif Agrobank Pupuk Budaya Bijak Belanja



SERDANG, SELANGOR – Agrobank meneruskan penganjuran Program Celik Wang di MAEPS Serdang, Selangor pada 20 November 2019.  Program ini telah dihadiri oleh 71 orang asnaf daripada Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Raudhah, Beranang, Selangor dan Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah, Shah Alam, Selangor.

Menurut Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Program Celik Wang ini diadakan bagi menyuntik kesedaran tentang kepentingan pengurusan wang secara berhemah dengan menyampaikan ilmu dan tunjuk ajar mengenai cara penggunaan dan simpanan wang yang bijak.  Ini dilakukan dengan cara yang menarik melalui Agro Hunt*.

“Ilmu berkenaan pengurusan kewangan di peringkat awal merupakan satu perkara penting terutama bagi golongan muda. Ini kerana mereka sering berdepan dengan cabaran menguruskan kewangan sehingga menyebabkan mereka terperangkap dalam bebanan hutang di usia muda,” kata Khadijah.

Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah kes kebankrapan yang ditadbir bagi tempoh 2014 hingga Disember 2018 adalah sebanyak 95,105 kes dan daripada jumlah ini, seramai 1,067 golongan muda di bawah umur 25 tahun telah diisytiharkan muflis.

“Kami di Agrobank percaya, strategi memupuk kesedaran mengurus kewangan dikalangan kanak-kanak adalah elemen penting dalam rancangan jangka panjang untuk melahirkan masyarakat celik kewangan.  Elemen ini turut diterapkan semasa aktiviti Agro Hunt supaya ilmu dikongsi dalam cara yang lebih menarik,” tambah Khadijah Iskandar.

Bagi tahun 2019 (Januari – November 2019), Agrobank telah menganjurkan 58 Program Celik Wang di serata Malaysia.  Program Celik Wang ini pertama kalinya diadakan pada tahun 2016.