AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Titipan Kasih Harian Metro Bersama Agrobank Bangunkan Sistem Tanaman Hidroponik Di Rumah-Rumah Kebajikan Terpilih



Banting, 6 Disember 2021 – Harian Metro menjalin kerjasama dengan Agrobank bagi membangunkan Sistem Tanaman Hidroponik di enam (6) rumah kebajikan terpilih di seluruh negara untuk membantu mereka menghasilkan sumber makanan di samping menjana hasil pendapatan sendiri.

Sebanyak enam rumah kebajikan telah dipilih untuk menjayakan projek hidroponik ini iaitu Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri di Banting, Selangor; Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Selangor; Desa Bina Diri Mersing, Johor; Rumah Amal Kulim, Kedah; Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Rumah Teduh Perlis; dan Perlis Special Teens Centre (PeSTeC).

Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri di Banting telah pun memulakan projek tanaman rock melon menggunakan kaedah tanaman fertigasi di kebun mereka yang terletak di Kampung Bukit Changgang sejak lebih sebulan yang lalu dan hasil tanaman mereka sudah mula menampakkan hasil.

Setiap rumah kebajikan diberikan peruntukan bermula dari RM3,000 sehingga RM5,000 bergantung kepada saiz dan ruang untuk aktiviti hidroponik.

Projek tanaman hidroponik ini merupakan inisiatif kerjasama antara Harian Metro dan Agrobank di bawah Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Agrobank bertujuan untuk menggalakkan rumah-rumah kebajikan menggunakan pertanian sebagai salah satu cara demi kelangsungan hidup.

Ia sekali gus dapat meringankan kos sara hidup dan perbelanjaan harian mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan berikutan kes penularan wabak COVID-19 sejak tahun 2020.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membantu mengenal pasti rumah kebajikan terbabit dan Jabatan Pertanian Malaysia yang membekalkan set permulaan sistem tanaman hidroponik serta sokongan berkaitan seperti kaedah penjagaan dan tip-tip penanaman sehingga sekurang-kurangnya tiga (3) kali tuaian.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit berkata usahasama dengan Agrobank adalah satu kerjasama strategik dan unik yang membuka pintu serta jalan kepada rumah-rumah kebajikan termasuk rumah-rumah anak yatim dan pusat tahfiz untuk meningkatkan ketersediaan mereka dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi demi kelangsungan hidup seharian.

“Melalui kaedah tanaman hidroponik ini, rumah-rumah kebajikan mampu memanfaat sumber makanan daripada hasil titik peluh mereka sendiri, selain memupuk minat anak-anak kurang bernasib baik dalam bidang pertanian sekali gus berdikari. Di samping itu, keberhasilan projek ini juga berupaya menjadi pemangkin ekonomi yang memberi pulangan kepada rumah-rumah tersebut,” kata Husain dalam ucapannya sempena majlis penyerahan simbolik sumbangan Sistem Tanaman Hidroponik kepada Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri di Banting, Selangor, hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek. Pihak Agrobank diwakili oleh Pengarah Wilayah Agrobank Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Rahim Ahmad.

“Kita tidak tahu bila wabak COVID-19 ini akan pulih dan jika berlarutan, pastinya akan menjejaskan kos perbelanjaan seharian golongan ini. Dengan adanya bantuan dan sumbangan seumpama projek tanaman hidroponik ini serta sokongan pihak korporat seperti Agrobank dan agensi kerajaan, mereka akan lebih bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan seterusnya melindungi kelangsungan hidup mereka,” tambah Husain.

Tanaman hidroponik adalah salah satu contoh pertanian bandar atau ‘urban farming’ yang boleh dilaksanakan oleh semua golongan yang tinggal di bandar atau luar bandar dengan keluasan tanah yang terhad sebagai satu keperluan keselamatan makanan atau ‘food security’ untuk mendapatkan sumber makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

Mengulas tentang inisiatif ini, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, “Sejak penubuhan Agrobank pada tahun 1969, telah menjadi DNA kami untuk membantu dan memberi sokongan kepada komuniti unserved dan underserved. Pelbagai inisiatif dan usaha telah dilaksanakan dalam memastikan komuniti pertanian serta golongan yang terpinggir ini terus mendapat bantuan dan manfaat, tidak terhad menerusi produk dan perkhidmatan perbankan kami, malah menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami.”

“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini adalah sangat sinonim dengan Agrobank kerana ia melibatkan aktiviti pertanian bagi menjamin kesejahteraan bekalan makanan negara dan secara tidak langsung membantu Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri beserta lima (5) buah badan kebajikan lain untuk terus self-sustain dengan menjana pendapatan tambahan menerusi kegiatan pertanian yang diusahakan melalui inisiatif ini,” Khadijah berkata dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini.

“Program Titipan Kasih ini adalah tepat pada masanya khususnya di saat negara sedang berhadapan dengan cabaran penularan wabak COVID-19 dan Agrobank amat berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi berkolaborasi dengan Agrobank. Semoga jalinan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada golongan terpinggir dan sekali gus memakmurkan sektor pertanian serta menjamin kestabilan bekalan makanan negara dalam jangka masa panjang,” tambah beliau.