Kolaborasi Strategik Agrobank & Teraju: Pembiayaan ESG Bernilai RM70 Juta Untuk PKS Bumiputera Tingkatkan Amalan Pertanian Moden Dan Jaminan Makanan
SERDANG, 12 OGOS 2022 – Agrobank dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selaku penyelaras utama dan pembolehcara strategik agenda Bumiputera telah memeterai Perjanjian Kolaborasi Dana ESG Financing for Agriculture bernilai RM70 juta untuk menyediakan pembiayaan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera bagi keseluruhan rantaian nilai agromakanan, untuk meningkatkan amalan pertanian moden dalam sektor pertanian pintar dan sekali gus menggalakkan penggunaan automasi berteknologi tinggi dalam perniagaan berasaskan pertanian mereka.
Pembiayaan yang juga menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini juga bertujuan untuk memastikan pembangunan ekosistem Bumiputera secara holistik dan mampan, memfokuskan kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030.
Dalam kolaborasi ini, Agrobank menyediakan pembiayaan sebanyak RM30 juta yang memfokuskan kepada Pertanian Pintar dan RM40 juta bagi Jaminan Makanan kepada syarikat Bumiputera yang layak dan mengamalkan teknik pertanian moden untuk membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) dan/atau perbelanjaan mengurus (OPEX).
Majlis pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Md Silmi Abd Rahman turut disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan serta Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga merupakan Pengerusi TERAJU.
Bercakap mengenai kolaborasi ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Program ini dibangunkan dengan tujuan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan PKS Bumiputera mengguna pakai teknik dan teknologi pertanian moden ke dalam perniagaan berasaskan pertanian mereka. Setiap permohonan yang berjaya akan mendapat manfaat kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh maksimum pembayaran balik sehingga 10 tahun.”
“Skop pembiayaan ini meliputi CAPEX dan perbelanjaan CAPEX, namun tidak terhad kepada input benih, baja, bahan infrastruktur, dan relevan untuk tujuan projek pertanian pintar dan amalan pertanian moden yang boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan kualiti yang lebih tinggi,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah lagi, “Pembiayaan ini juga boleh digunakan untuk tujuan pembelian mesin berteknologi tinggi seperti automasi penuaian, traktor autonomi, pembenihan dan merumput, dan dron yang boleh membantu meningkatkan produktiviti perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan mereka.”
“Agrobank sentiasa menyokong penuh inisiatif sebegini, selaras dengan agenda jaminan bekalan makanan negara dan penerapan amalan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) ke dalam sektor pertanian Malaysia.”
Tambah beliau, suntikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke dalam perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan ini, bukan sahaja dapat menjamin peningkatan kualiti dan kuantiti pengeluaran, malah akan dapat terus meningkatkan taraf hidup para pengusaha, dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dato’ Md Silmi Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU berkata, “Statistik Bank Dunia menganggarkan Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri Pertanian negara-negara ASEAN pada tahun 2020 bernilai USD 3.08 trilion, yang merupakan 11% dari keseluruhan KDNK ASEAN secara keseluruhannya. Industri antara yang terawal ini perlu diadaptasikan dengan perkembangan teknologi semasa agar ianya kekal berdaya maju kerana kewujudannya adalah kunci kepada kelangsungan jaminan makanan dan kehidupan sejagat.
TERAJU sebagai pembolehcara strategik agenda pemerkasaan Bumiputera menyambut baik kolaborasi bersama Agrobank untuk mempelopori pembiayaan ESG yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk mengalakkan pertanian jitu atau precision farming yang merupakan penyelesaian mutakhir kepada pertanian secara konvensional.
Pertanian konvensional terdedah kepada pelbagai ancaman seperti perubahan cuaca, pemanasan global serta bencana alam. Sebaliknya, pertanian jitu membuka gerbang teknologi pertanian yang kurang dibatasi oleh ancaman melalui penggunaan teknologi untuk penggunaan sumber secara optimal dengan pulangan yang lumayan.
Pertanian jitu memerlukan teknologi baru seperti GPS, dron, alat pengesan, satelit dan sistem teknologi maklumat yang dapat membantu petani meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta keadaan optimal seperti masa yang baik untuk menanam benih tanaman, jumlah baja yang betul, serta meramal jumlah tuaian hasil tanaman secara tepat.
“Sudah tiba masanya pengusaha Bumiputera mengorak langkah seperti pengusaha-pengusaha di Thailand, Australia, Jepun dan Taiwan yang menggunakan teknologi untuk memberikan jaminan tuaian dan hasil yang memberangsangkan serta merebut peluang kedudukan geografi kerana rantau Asia adalah pasaran makanan terbesar dunia. Pasaran makanan Asia telah mengalami kenaikan dari 42% pada tahun 2014 kepada 50% pada tahun 2020 dengan anggaran perbelanjaan produk makanan bernilai USD 4.4 trilion dalam jangkamasa 10 tahun akan datang.”
Dato’ Md Silmi Abd Rahman juga berkata “Naskah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dibangunkan oleh TERAJU telah mensasarkan sektor Pertanian dan Komoditi sebagai salah satu Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA). Sasaran pencapaian penciptaan nilai untuk KEGA ini untuk tempoh sepuluh tahun akan datang adalah pada RM25.06 bilion.”
Lima objektif utama KEGA Pertanian dan Komoditi:
1. Mengembangkan produk pertanian baharu bernilai tambah tingi
2. Menjamin pegangan dalam pasaran premium
3. Melindungi jaminan makanan Malaysia
4. Memperkukuh dan menyepadukan rantaian nilai pertanian
5. Memanfaatkan komoditi bernilai tinggi
Pembiayaan ini mensasarkan minimum 30 syarikat yang berkelayakan. Melalui pembiayaan ini, sasaran peningkatan kapasiti adalah melalui peningkatan jualan atau pendapatan keuntungan sebanyak 10% sepanjang pelaksanaan program ini.
Amalan nilai berorientasikan ESG semakin mendapat perhatian dengan didorong peningkatan kesedaran prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam kalangan PKS Bumiputera dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti dan menjadi lebih berdaya saing.