AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Serah Zakat Perniagaan Berjumlah RM275,626.57 Kepada Tabung Baitulmal Sarawak



PETRA JAYA, SARAWAK – Agrobank terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat di Sarawak dengan menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2021 yang berjumlah RM275,626.57 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di bawah selian Majlis Islam Sarawak.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Agrobank Dato’ Mustapha Buang kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Haji Misnu Haji Taha, sambil disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pengurus Besar TBS, Datu Haji Abang Mohd. Shibli Haji Abang Mohd Nailie, dalam satu majlis yang diadakan di sini, hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pengagihan zakat perniagaan ini merupakan amalan tahunan Agrobank untuk menyerahkan keuntungan bersih syarikat dan agihan zakat pendapatan di negeri-negeri yang diperoleh berdasarkan pengiraan tertentu kepada golongan yang memerlukan seperti pelajar, asnaf dan komuniti terpinggir dan kurang mendapat liputan (unserved and underserved communities).

“Kami berharap agar sumbangan zakat ini dapat memberi impak yang positif kepada pembangunan sosioekonomi setempat di Sarawak, khususnya pelajar, asnaf dan komuniti di bawah seliaan Tabung Baitulmal Sarawak.”

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan, Agrobank komited untuk memenuhi mandatnya dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya yang selaras dengan visi ‘Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan’ agar nasib komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat liputan ini terus terjaga dan dibela,” tambah beliau.

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) ditubuhkan oleh kerajaan negeri Sarawak pada tahun 1984 di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan) (Pindaan) 1984, berperanan dan bertanggungjawab dalam Pengurusan Zakat, Wakaf dan Sedekah di negeri Sarawak.