Agrobank Memperluaskan Program Sifar Tunai Ke Pahang – Promosi Pendigitalan Pengurusan Kewangan
BENTONG, PAHANG – Agrobank memperluaskan Program Sifar Tunai ke negeri Pahang, satu inisiatif Bank untuk mempromosikan ilmu pengurusan kewangan dan pendigitalan kewangan dalam urus niaga harian dikalangan pelajar kolej dan peringkat institusi pendidikan tinggi.
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, program ini dibangunkan dengan fokus mendidik pelajar kolej dengan objektif untuk menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan peka mengurus kewangan mereka dan sekali gus cekap menjalankan transaksi secara digital. ”Agrobank berhasrat untuk mendidik pelajar dan warga pendidik di kolej ini mengenai penggunaan pendigitalan. Usaha ini bukanlah sekadar memberi pendedahan kepada golongan muda ini sahaja tetapi ia juga merupakan inisiatif melangkaui perbankan Bank untuk menggalakkan masyarakat setempat agar mula mengambil tahu mengenai pentingnya penggunaan digital dalam pengurusan perniagaan, urusan jual beli harian serta penyimpanan wang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis Pelancaran Program Sifar Tunai Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan (KVTAA) disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi di kolej berkenaan di Bentong. Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Program Sifar Tunai Agrobank merupakan inisiatif sama yang diperkenalkan untuk memberi pendedahan mengenai teknik-teknik pengurusan pendigitalan kewangan yang betul dikalangan generasi muda dan seterusnya menggalakkan penglibatan masyarakat setempat untuk mengguna pakai platform digital untuk menguruskan kewangan mereka.
”Selepas ini pelajar dan warga kerja kolej KVTAA akan hanya perlu mengimbas kod QR di koperasi dan kantin kolej menggunakan telefon bimbit pintar untuk membuat pembayaran untuk pembelian mereka. Konsep ini bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, tetapi juga mudah dan cepat di mana pelajar dan pengusaha kantin tidak perlu menyediakan wang kecil atau wang baki apabila tidak perlu lagi membuat bayaran tunai.
“Manakala bagi pihak koperasi dan pengusaha kantin pula, wang hasil perniagaan harian akan terus terdeposit ke dalam akaun perniagaan dan usahawan boleh menyemak hasil transaksi jual beli harian di akaun mereka secara dalam talian. Kemudahan ini juga membantu mereka memantau rekod kewangan serta mempunyai pengurusan akaun yang lebih teratur,” katanya. Tengku Ahmad Badli Shah menambah, ”Koperasi kolej akan berfungsi sebagai bank kecil di dalam kolej sebagai Agen kepada Agrobank atau AgroAgent di mana pelajar serta warga kerja boleh terus ke koperasi untuk menjalankan urusan perbankan seperti mendeposit dan mengeluarkan wang secara terus di koperasi kolej.” Seramai 845 penghuni kolej yang terdiri daripada 725 pelajar dan 120 warga kerja termasuk pendidik terlibat di bawah Program Sifar Tunai Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan. Sehingga 12 Januari 2023 seramai 101 penghuni kolej ini telah pun membuka Akaun Simpanan Asas-i atau Agro BSA-i dengan deposit pemula sebanyak RM50 seorang dan caj RM10 sebagai fi pendaftaran kad debit Agro Visa Debit-i.