Agrobank Anjur Program Cashless Pupuk Pengurusan Kewangan Berhemah Untuk Penjaja
BENTONG PAHANG, 22 SEPTEMBER 2023 – Agrobank hari ini melancarkan Program Perasmian dan Pelancaran Penjaja Cashless Simpang Pelangai, Bentong, Pahang di Majlis Kayuhan Amal Agrobank dalam usaha mewujudkan urusniaga tanpa tunai (Cashless) di kalangan penjaja dan komuniti setempat.
Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Encik Zahid Ahmad Zawawi berkata, “Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan kepada penjaja di sekitar Pelangai terutamanya penjaja pasar malam dan pasar pagi menggunakan dan menjalankan perniagaan transaksi sifar tunai (Cashless) dalam aktiviti jualan harian mereka selain memupuk aktiviti pembayaran lebih mudah dan selamat.
“Agrobank juga menyahut penuh seruan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan kemudahan kewangan dan kemudahan perbankan dapat ditawarkan kepada kawasan pendalaman (underserve area)”.
Inisiatif cashless ini bakal memberikan kelebihan kepada penjaja-penjaja pasar pagi dan malam untuk pengurusan kewangan yang lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, mempelbagaikan pilihan pembayaran serta pengurusan inventori yang lebih berkesan.
“Inisiatif ini dan dianggarkan dapat memberi manfaat awal kepada kepada hampir 50 orang penjaja dan mereka juga dibekalkan kanopi lipat Agrobank secara percuma. Kami berharap sedikit sebanyak ianya mampu meringankan kos perniagaan mereka”, tambahnya.
Selain itu, program ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan baik dengan Masyarakat sekitar bagi menawarkan peluang perniagaan dan perkhidmatan Agrobank serta sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada penduduk luar bandar.
Turut diadakan pada majlis yang sama penyerahan zakat Agrobank kepada golongan asnaf yang disaksikan oleh Yang Berhormat Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bentong, Yang Berbahagia Dato’ Rose Samsul Bin Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong serta penduduk kampung berhampiran.
Agrobank sedang merangka perancangan strategik untuk memperluaskan inisiatif ini ke seluruh negeri Pahang.