AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sambut Baik Pengumuman YAB Perdana Menteri akan Lanjutan Moratorium Sasaran



KUALA LUMPUR – Sejajar dengan langkah-langkah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai 2020, Agrobank menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Kerajaan mengenai lanjutan tempoh moratorium pembiayaan bank akan diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pemotongan gaji pada tahun ini untuk membolehkan rakyat Malaysia menghadapi situasi ekonomi yang timbul akibat wabak COVID-19.

“Selepas tiga bulan, tempoh moratorium dapat dilanjutkan oleh bank bergantung kepada keadaan individu. Bagi individu yang bekerja tetapi telah dipotong gaji, ansuran bulanan mereka akan dikurangkan seiring dengan pemotongan gaji mereka,” kata Muhyiddin dalam satu pengumuman yang disiarkan di televisyen pada hari Rabu (29 Julai).

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Agrobank menyambut baik langkah proaktif yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri untuk membantu rakyat Malaysia yang masih mengalami kekangan kewangan dalam tempoh yang mencabar ini.”

“Sebagai institusi kewangan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kepentingan masyarakat dan komuniti dalam industri pertanian, kami berharap ini dapat membantu pelanggan kami yang menghadapi masalah kewangan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih kritikal dalam kehidupan mereka,” tambahnya.

Khadijah mengulas lebih lanjut, selain dari dua kumpulan sasaran ini, pelanggan lain yang terjejas juga dialu-alukan untuk menghubungi pegawai di cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi cabaran kewangan yang mereka hadapi.

“Sekiranya situasi berlanjutan, pihak bank akan mempertimbangkan kemungkinan untuk menawarkan penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan dan ini terbuka kepada kedua-dua pelanggan perniagaan dan PKS kami serta individu yang terkesan oleh situasi semasa dan ianya akan dinilai kes berdasarkan kes,” tambahnya.

Menurut Khadijah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dilaksanakan, ini merupakan peringkat kedua Agrobank mengambil langkah proaktif untuk mendukung mereka yang terkesan oleh wabak COVID-19. Agrobank turut menggalakkan perniagaan untuk mengakses strategi dan perancangan perniagaan semasa mereka dan membincangkan bagaimana untuk terus maju dengan pegawai banknya.

Pelanggan boleh menghubungi pusat hubungan pelanggan bank di 1-300-88-2476 atau mengunjungi cawangan terdekat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bantuan yang ada.