Agrobank Anjur Kerjasama Kejohanan Sukan Catur. Satu Inisiatif Pembangunan Masyarakat Setempat
KUALA LUMPUR – Agrobank sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) menganjurkan Kejohanan Catur Kebangsaan Peringkat Sekolah dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (MCF) bagi memenuhi visinya untuk membangunkan masyarakat setempat diluar komuniti pertanian.
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, ”Pada tahun ini, Agrobank mengorak selangkah lagi kehadapan dengan menumpukan kepada inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada pembangunan melangkaui perbankan dengan tidak hanya meletakkan fokus kepada sektor pertanian semata-mata, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan dengan menghidupkan perancangan negara dengan menyokong komuniti-komuniti setempat.”
”Fokus kami adalah untuk memperkukuhkan inisiatif-inisiatif pemangkin dengan memperkenalkan lebih banyak program peningkatan sosial dan rangkuman kewangan bagi menambah baik taraf sosio-ekonomi selain sektor pertanian negara,” beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutupan Agrobank National Scholastic Chess Championship 2023/Kejohanan Catur Kebangsaan Peringkat Sekolah Agrobank 2023 yang berlangsung di Pusat Latihan Agro di Bangi. Katanya, inisiatif pemangkin tersebut meliputi usaha pembangunan golongan belia dengan menyediakan akses kepada pembangunan sukan negara termasuk menyediakan platform yang diperlukan untuk menyokong dan menambah baik usaha kerajaan.
”Sejak penubuhan Agrobank lebih 50 tahun yang lalu, kami telah bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi Kerajaan. Kami membina hubungan yang kukuh dan sinergistik dengan rakan kongsi strategik kami untuk menjalankan usaha pengembangan dalam ekosistem bagi memajukan dan menyokong sektor pertanian dan penggiat dalam sektor ini,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.
Kejohanan Catur Kebangsaan Peringkat Sekolah Agrobank 2023 berlangsung selama tiga hari dari 27 Januari hingga 29 Januari di Pusat Latihan Agro melibatkan penyertaan kira-kira 500 pelajar sekolah berusia di antara 7 sehingga17 tahun dari seluruh negara. Kejohanan ini dipertandingkan dalam enam (6) kategori (U7, U9, U11, U13, U15 dan U17) dengan masing-masing melibatkan sub-kategori perempuan dan lelaki dengan jumlah pemenang seramai 120 orang. Setiap sub-kategori mempunyai tiga (3) orang pemenang utama yang membawa pulang pingat kemenangan dan sijil penyertaan. Selain mencungkil bakat baharu sukan catur di peringkat kebangsaan, pemenang utama bagi setiap kategori akan melayakkan diri untuk mewakili Malaysia ke kejohanan catur di peringkat antarabangsa.