AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Bantu Mangsa Banjir Di Hulu Langat, Selangor Menerusi Misi ‘Agrobank Dan Komuniti’



KUALA LUMPUR, 31 DISEMBER 2021 – Agrobank menerusi program ‘Agrobank dan Komuniti’ telah mengadakan misi bantuan banjir kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat, Selangor pada 27 Disember 2021. Seramai lebih daripada 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Agrobank telah menyertai misi bantuan ini dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di beberapa buah rumah di sekitar Batu 16, Nanding and Desa Raya, Hulu Langat, Selangor.

Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank berkata “Agrobank bersimpati dengan cabaran dan keperitan yang dihadapi mangsa-mangsa banjir.  Justeru, kami telah menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat yang telah membantu Agrobank dalam mengenalpasti rumah-rumah mangsa banjir yang memerlukan bantuan pembersihan. Inisiatif yang diberikan Agrobank ini merangkumi kerja-kerja pembersihan   perparitan kawasan rumah dan di dalam rumah yang di selaputi lumpur, pengasingan barangan, membasuh pakaian, pembuangan sampah dan lain-lain.”

Komitmen berterusan Agrobank ini menandakan keprihatinan Bank dalam situasi yang dihadapi mangsa-mangsa banjir pada tempoh yang sukar ini. Walaupun kecil, namun melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan ini, kami berharap ia dapat meringankan beban yang dihadapi mereka seterusnya membantu mereka untuk memulihkan semula keadaan rumah akibat kerosakan yang dihadapi berikutan dengan bencana banjir yang melanda.”

Misi bantuan banjir Agrobank & Komuniti ini adalah kesinambungan inisiatif dan bantuan Agrobank kepada mangsa-mangsa banjir. Sebelum ini, Agrobank telah mengumumkan Pelan Bantuan Banjir Agrobank khusus buat pelanggan-pelanggan Bank yang terkesan dengan menawarkan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan (R&R), tawaran moratorium sehingga enam (6) bulan, kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) di bawah BNM (peruntukan sebanyak RM200juta sehingga digunakan sepenuhnya) serta pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan.