AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Lancar Bank Bergerak Di Sabah Eksklusif Untuk Penduduk Lahad Datu, Tawau Dan Beaufort – Tingkat Rangkuman Kewangan Komuniti Luar Bandar



KOTA KINABALU, SABAH – Selaras dengan agenda kerajaan dalam meningkatkan inklusiviti kewangan di kawasan luar bandar, Agrobank hari ini melancarkan Bank Bergerak pertamanya di Sabah.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sambil disaksikan oleh YB Tuan Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Datuk Yunos Abd Ghani, Pengerusi Agrobank; Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Nor Rafidz Nazri, Ketua Jabatan Rangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia.

Bercakap mengenai inisiatif pembangunan luar bandar ini, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank sentiasa beriltizam untuk meningkatkan pembangunan luar bandar ke arah mencapai rangkuman kewangan dengan memperluaskan akses pembiayaan kepada golongan yang kurang mendapat liputan (unserved and underserved community) sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia.”

“Pertanian merupakan antara sumber ekonomi terpenting di Sabah. Justeru, menerusi pembangunan sektor pertanian di Sabah yang semakin melonjak, Agrobank yakin bahawa Bank Bergerak ini mampu merangsang ekonomi di Negeri di Bawah Bayu ini serta dalam masa yang sama membantu memudahkan urusan perbankan penduduk menerusi perkhidmatan pengeluaran dan deposit ATM serta tawaran khidmat nasihat berkaitan produk Bank,” tambah beliau. 

Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Dalam mencapai rangkuman kewangan, kami amat berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan perbankan bergerak ini dan berbangga bahawa Agrobank adalah Bank pertama yang menyediakan perkhidmatan eksklusif ini kepada penduduk di sekitar Lahad Datu, Tawau dan Beaufort.  Perkhidmatan ini adalah penting kerana penduduk dianggarkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam dan enam belas minit dengan jarak 73.8 km untuk ke pekan terdekat bagi mendapatkan akses perbankan.”

“Usaha ini bukanlah yang pertama daripada Agrobank. Sebelum ini, inisiatif seumpama ini pernah diperkenalkan pada tahun 1970-an yang dikenali sebagai Bank Bergerak Bank Pertanian Malaysia. Pada November 1994, Agrobank turut menyediakan Bank terapung pertama di Malaysia, dikenali sebagai PATRIOT Rejang yang menyusuri Sungai Rejang untuk menyediakan akses perbankan asas bagi komuniti di sekitar Kapit, Sibu dan Belaga di Sarawak. Terbaharu, pada tahun 2022, Agrobank turut melancarkan Bank Bergerak dengan mekanisme yang sama di Sarawak.”

“Lokasi perkhidmatan perbankan Agrobank kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan kami percaya perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan tunjang utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pemerkasaan individu dan komuniti,” tambahnya lagi. 

Ketika melancarkan Bank Bergerak Sabah, YB Datuk Seri Muhamad Sabu berkata, “Dalam usaha untuk memastikan kestabilan sekuriti makanan serta pembangunan sosioekonomi komuniti yang kurang mendapat perhatian, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bersama bagi memastikan hasrat ini dapat dicapai. Kerajaan menerusi Kementerian, agensi, organisasi dan rakyat perlu berganding bahu  untuk merealisasikan tanggungjawab ini.”

“Simbiosis dan sinergi pelan perancangan strategik yang kukuh perlu diadaptasi dalam perancangan setiap entiti badan kerajaan mahupun swasta. Ini adalah penting bagi menjamin pembangunan komuniti di luar bandar khususnya dalam mencapai Malaysia Madani. Justeru, usaha Agrobank ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan dalam meningkatkan rangkuman kewangan serta pada masa yang sama membantu membangunkan sektor pertanian negara,” tambah beliau.  

Bank Bergerak ini adalah program bantuan yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membantu segmen yang kurang mendapat liputan ke arah pengukuhan ekonomi yang lebih baik.