AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Lancar Video Aidilfitri ‘Pesan Atuk’ – Padat Dengan Mesej Berbudi Kepada Tanah



KUALA LUMPUR, 25 APRIL 2022 – Kemeriahan Aidilfitri semakin dirasai dan bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Agrobank telah melancarkan video Aidilfitri berjudul ‘Pesan Atuk’ yang boleh ditonton menerusi media sosial rasmi Agrobank iaitu di YouTube – Agrobank TV, Facebook – Agrobank dan Instagram – @agrobankmy bermula pada 23 April 2022.

Berkisahkan tentang seorang cucu yang mengimbau memori zaman kanak-kanaknya bersama Atuknya yang bekerja sebagai seorang petani dan pengusaha sawah padi, video Aidilfitri ini masih mengekalkan konsep kasih sayang kekeluargaan namun sangat padat dengan mesej kelestarian jaminan bekalan makanan negara di mana pentingnya untuk generasi muda meneruskan legasi sektor pertanian dan agro makanan.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata “Pastinya Aidilfitri pada tahun ini sangat meriah tambahan pula sudah dua tahun kita tidak dapat pulang ke kampung halaman, untuk beraya bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Namun, dalam keterujaan kita untuk menyambut Aidilfitiri, kami di Agrobank berasa terpanggil untuk menyuntik pesanan penuh makna ini akan kepentingan kelestarian sektor pertanian negara serta menghargai usaha para petani, penternak dan nelayan (agropreneur) di Malaysia dalam memastikan kita mempunyai makanan untuk dinikmati bersama keluarga tercinta setiap hari khususnya menjelang Aidilfitri ini.”

“Kadangkala, kita terlupa bahawa, para agropreneur ini merupakan wira yang tidak didendang, yang bekerja tanpa mengenal erti lelah agar tahap sara diri (SSL) negara yang lebih baik dapat dipertingkatkan demi untuk memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal mencukupi untuk dinikmati bersama.”

“Justeru, mengambil inspirasi konsep ini, kami berharap video Aidilfitri yang dikaryakan khas buat usahawan tani sektor pertanian dan agro makanan negara ini dapat dijadikan simbolik tanda penghargaan kami di Agrobank dan seluruh warga masyarakat untuk menghargai usaha dan kecekalan mereka dalam meningkatkan kemampanan sektor pertanian dan agro makanan negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, “Kami di Agrobank juga berharap, menerusi kisah ini, lebih ramai generasi muda tampil menceburi sektor pertanian dan agro makanan negara dengan mengetengahkan inovasi terkini serta menyuntik elemen teknologi dalam perniagaan berasaskan pertanian agar usaha untuk berbudi kepada tanah serta produktiviti hasil pertanian dapat terus dipertingkatkan.”