AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Meterai Perjanjian Strategik Dengan Perak SADC Di Bawah ‘Program Ladang Untuk Rakyat’



SERDANG, SELANGOR: 10 OGOS 2022 – Agrobank hari ini telah memeterai satu perjanjian strategik bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai rakyat Malaysia dalam sektor pertanian menerusi ‘Program Ladang Untuk Rakyat’ bagi tujuan penanaman komoditi getah, kelapa sawit dan durian.

Simbolik kerjasama strategik ini telah disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Tuan Haji Yahanis Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC sambil disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak di MAEPS Serdang bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022).

Segala urusan pembangunan dan operasi akan dikendalikan oleh Perak SADC dan pemilihan peserta akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak. Program pembiayaan yang ditawarkan ini berjumlah di antara RM5,000 sehinggalah RM50,000 dengan kadar keuntungan pembiayaan serendah KABP (kadar asas berian pembiayaan) + 0%.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, “Pada hari ini kita telah menyaksikan kolaborasi strategik di antara Agrobank dan Perak SADC dalam usaha untuk menjana pendapatan tambahan dalam sektor penanaman komoditi seperti getah, kelapa sawit dan durian, seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi kumpulan berpendapatan rendah dan B40 terutamanya”.

“Agrobank akan berperanan sebagai pembiaya kepada program ini manakala Perak SADC pula akan bertanggungjawab untuk menyedia kemudahan ladang, bimbingan, penyelengaraan dan penjualan komoditi. Bagi memudahkan Peserta Ladang Untuk Rakyat, pendapatan hasil jualan mereka akan dibayar terus kepada Agrobank secara bulanan manakala lebihan hasil jualan akan diagihkan kepada semua peserta secara dividen tahunan,” komen Tengku Ahmad Badli Shah lagi.

Beliau turut menambah, “Melalui penawaran daripada program ini yang memfokuskan kepada aspek 3A iaitu Aksesibiliti (Accessibility), Ketersediaan (Availability) dan Berpatutan (Affordability), Agrobank komited untuk terus memperkasakan komuniti agro menerusi program-program pembiayaan kami termasuklah menerusi kerjasama bersama Perak SADC ini.”

“Saya juga berharap kolaborasi strategik seumpama ini bersama organisasi dan entiti korporat yang lain dapat turut dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat terus dijana selain membantu meningkatkan lagi kestabilan jaminan keselamatan makanan negara khususnya ketika dunia kini sedang dihimpit dengan ketidakstabilan ekonomi dan ekosistem rantaian makanan.”

Program Ladang Untuk Rakyat bersama Perak SADC ini buat pertama kalinya telah diperkenalkan oleh Agrobank pada tahun 2016 menerusi tanaman kelapa sawit dan getah yang telah membantu lebih 1,450 rakyat negeri Perak. Kini, kerjasama strategik ini telah dikembangkan lagi dengan tanaman durian.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan program ini, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1300 88 2476 atau e-
mel customer@agrobank.com.my.