Agrobank Sambut Baik Program Pemulih NewBiz, Bantu Rakyat Malaysia Depani Cabaran Ekonomi Semasa
SERDANG, SELANGOR – Agrobank menyambut baik mandat dan tanggungjawab yang diberikan oleh Kerajaan dalam memulihkan sektor pertanian dan agromakanan negara dan sekaligus membantu rakyat Malaysia mendepani cabaran ekonomi semasa, menerusi Program Pembiayaan Pemulih NewBiz, sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
Pengumuman mengenai Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri ketika berucap dalam merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, Agrobank menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukan RM50 juta kepada Agrobank bagi membantu kira-kira 10,000 individu yang berminat untuk memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan.
Mengulas lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz, beliau berkata, program terbaharu Agrobank ini adalah berbeza daripada program pembiayaan yang lain dan ia diolah khusus bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan oleh situasi dan cabaran ekonomi semasa, seperti hilang pekerjaan, graduan yang masih menganggur, individu asnaf, mereka yang ingin menambah pendapatan isi rumah dan suri rumah serta ibu tunggal.
“Kemudahan pembiayaan tanpa cagaran ini ditawarkan untuk tujuan pembelian aset tetap dan modal pusingan kepada aktiviti perniagaan yang ditetapkan seperti pembelian motosikal untuk aktiviti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Program Pemulih NewBiz juga terpakai bagi mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan di rumah (home-based) seperti:
- a) Pengedaran dan penghantaran makanan termasuk bagi tujuan pembelian bahan mentah, mesin dan motosikal yang bersesuaian dengan keperluan aktiviti tersebut.
- b) Pemprosesan dan penyediaan makanan atau bahan asas bagi menyediakan makanan sebelum dihantar ke tapak atau mana-mana premis perniagaan yang dibenarkan.
- c) Menjalankan aktiviti perniagaan di gerai yang berlesen seperti gerai burger atau mana-mana yang seumpamanya.
Tengku Ahmad Badli Shah turut menambah, program pembiayaan ini ditawarkan dalam dua peringkat iaitu pembiayaan sehingga RM5,000 diberikan bagi peringkat pertama manakala pembiayaan peringkat kedua sehingga RM10,000 akan ditawarkan selepas tempoh 12 bulan dari tarikh kemudahan pembiayaan peringkat pertama dikeluarkan.
“Bagi program pembiayaan ini, Agrobank turut menyediakan kemudahan moratorium bagi tempoh enam (6) bulan pertama pembiayaan dan bagi bulan ketujuh dan seterusnya, mereka hanya dikenakan kadar keuntungan serendah 3% sahaja dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.
“Tempoh moratorium ini adalah untuk memberi ruang kepada para usahawan untuk kekal fokus dalam mengatur strategi perniagaan mereka, sambil menimba ilmu dan pengalaman dalam mendalami selok-belok dunia perniagaan serta menstabilkan modal pusingan perniagaan baharu yang sedang mereka usahakan sebelum memulakan pembayaran semula pembiayaan mereka.”
“Ini kerana kami tidak mahu membebani usahawan kami dengan tekanan untuk terus sahaja membuat bayaran pembiayaan mereka sebaik sahaja ia diluluskan dan akhirnya mereka gagal dalam perniagaan yang baru sahaja mereka usahakan,” tambahnya.
Tengku Ahmad Badli Shah turut menambah, bagi mereka yang baharu sahaja terlibat dalam perniagaan makanan atau usahawan muda mahupun mereka yang mempunyai minat untuk memulakan perniagaan makanan, boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) untuk pelbagai cabang khidmat nasihat termasuklah untuk mengetahui rancangan pengurusan perniagaan ataupun aliran tunai, sekaligus dapat membimbing mereka menjadi usahawan makanan yang berjaya.
“Program Pemulih NewBiz adalah salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian, untuk memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan (unserved and underserved communities) seperti asnaf selain menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan dan sekaligus menambahbaik taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga.”
“Agrobank amat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang terkesan dek cabaran ekonomi semasa untuk terus berkunjung ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Pembiayaan Pemulih NewBiz secara lebih terperinci melalui pegawai-pegawai Agrobank kami di seluruh Malaysia,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh melayari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my, hubungi pusat perkhidmatan pelanggan kami di 1300-88-2476 atau merujuk media social Agrobank.