AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Serah Kutipan Dana Wakaf Tunai RM206,313.45 Kepada PICOMS Bagi Inisiatif Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP



KUALA LUMPUR – Selaras dengan matlamat untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat untuk beramal jariah dengan berwakaf, Agrobank, sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 2015, telah menggerakkan 140 cawangannya di seluruh Malaysia dengan menggunakan fasiliti perbankan internetnya, Agronet sebagai medium bagi mencapai sasaran kutipan dana wakaf tunai sebanyak RM200,000 bagi Program Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP.

Setelah lebih dua tahun sejak ia dilancarkan pada tahun 2020, Agrobank bukan sahaja telah berjaya mencapai sasaran kutipan, malah telah berjaya mengumpul kutipan dana wakaf tunai keseluruhan berjumlah RM206,313.45.

Penyerahan kutipan dana wakaf tunai terkumpul ini telah disempurnakan oleh Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman dalam satu majlis yang telah berlangsung pada Rabu.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Kita sedia maklum akan kepentingan wakaf dalam pembangunan sosial dan kebajikan umat Islam dan bagaimana golongan yang berkemampuan turut dapat membantu mereka yang serba kekurangan. Agrobank amat berbesar hati dengan kolaborasi ini dalam menjadi agen kepada masyarakat untuk menyalurkan dana wakaf bagi memenuhi keperluan kesihatan dengan pembelian mesin hemodialisis ini. Fokus kesihatan merupakan salah satu fokus AgroWakaf di Agrobank, selain usaha memperkasakan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti.”

“Semoga usaha ini akan terus meningkatkan lagi kesedaran umat Islam mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.

Program Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP ini merupakan kerjasama di antara Agrobank dan PICOMS,anak syarikat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah dilancarkan pada tahun 2020 bagi membantu menangani masalah kekurangan mesin dialisis bagi pesakit-pesakit dari kalangan orang awam.

Program ini menyasarkan jumlah kutipan wakaf tunai sebanyak RM600,000.00 termasuklah dana berjumlah RM400,000.00 yang telah disalurkan daripada dana khairat produk Agrobank kepada PICOMS pada Disember 2020 sebagai suntikan dan pemangkin kepada program wakaf tunai ini.

Mesin-mesin dialysis tersebut akan digunakan untuk rawatan hemodialisis atau pembersihan darah oleh pesakit-pesakit buah pinggang terutamanya daripada golongan asnaf dan yang kurang berkemampuan yang dikenalpasti dan mendapat pembiayaan dari pihak MAIWP.