AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Serah Replika Kad Takaful Kasih Untuk Pesawah Di Bawah Program ‘KITA’ BERNAS



SERDANG – Agrobank hari ini menyerahkan replika kad Takaful Kasih untuk pesawah di bawah program Komuniti Industri Tani BERNAS (KITA) dan inisiatif ini merupakan salah satu usahasama di antara Agrobank dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam membina komuniti tani yang mampan dan sekali gus menawarkan peluang dan nilai tambah melangkaui perbankan kepada setiap pesawah di bawah program KITA bagi meneraju peningkatan hasil padi dalam pasaran Malaysia.

Penyerahan replika kad Takaful Kasih ini telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan BERNAS, Abdul Rahman Mohd Nasri sambil disaksikan oleh Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, “Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus ini telah dibangunkan khas oleh Agrobank untuk membantu dan menambah pelan perlindungan takaful kepada ahli Program KITA dan dalam masa yang sama, untuk menarik minat lebih ramai pengusaha-pengusaha tanaman padi agar turut sama menjadi ahli Program KITA, dengan nilai sumbangan serendah RM0.05 sehari atau sumbangan tahunan berjumlah RM21.20 sahaja.”

“Ia juga merupakan kesinambungan dari usaha berterusan Agrobank untuk terus mendukung pertumbuhan sektor pertanian dan agromakanan negara, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan.”

“Terutamanya dalam keadaan semasa yang tidak begitu menentu ini, ingin saya mengingatkan kepada orang ramai bahawa situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila- bila masa.”

“Oleh itu, apa yang dalam kawalan kita ialah bagaimana kita bersedia untuk menghadapi situasi-situasi tersebut. Maka manfaat yang ditawarkan dalam Pelan Perlindungan Takaful Kasih oleh Agrobank ini sangat membantu dalam situasi di mana dana kecemasan kita tidak mencukupi dan jika berlaku musibah kematian misalnya, manfaat takaful seperti ini akan dapat mengurangkan sedikit beban yang akan ditanggung oleh waris dalam mereka meneruskan kehidupan mereka,” tambah beliau lagi.

Setakat hari ini, lebih 6,000 pesawah KITA telah menerima perlindungan Takaful Kasih daripada Agrobank dan pelan ini memberikan perlindungan terhadap kemalangan kepada orang yang dilindungi sebelum tamat tempoh sijil Takaful.

Bersempena MAHA 2022 yang sedang berlangsung di Maeps sehingga 14 Ogos ini, Agrobank turut menawarkan kad istimewa bagi pelan perlindungan Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2022. Untuk yang berminat boleh mengunjungi booth Agrobank di Dewan MAEPS, Serdang.