FELDA dan Agrobank Tandatangani Perjanjian Model Baharu Program Pembangunan Peneroka
KUALA LUMPUR, 15 Mac 2021 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini menandatangani satu perjanjian kolaborasi Model Baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) FELDA bersama Agrobank dengan nilai keseluruhan kerjasama berjumlah RM100 juta.
Usahasama ini akan memfokuskan pelaksanaan projek-projek berskala besar dan bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka. Projek-projek yang dipilih dan dirancang adalah dengan penglibatan pemain-pemain industri yang bernaung di bawah Agrobank dan telah terbukti kejayaan mereka dalam bidang masing-masing. Model baharu ini menggariskan bahawa pemain industri akan membeli semula hasil yang dikeluarkan dan turut menguruskan operasi projek bagi menyelesaikan isu kemampuan warga peneroka berumur untuk menguruskan kerja pertanian.
Dalam usahasama ini FELDA berperanan sebagai badan yang mengenal pasti lokasi dan kumpulan sasar dari kalangan peneroka dan koperasi rancangan untuk projek-projek ini dijalankan dan mencadangkan lokasi-lokasi ini kepada pihak Agrobank. Pihak Agrobank seterusnya akan menilai kesesuaian tapak dan mencadangkan jenis projek dan pemain industri yang bersesuaian.
Setiap peneroka atau koperasi rancangan yang layak akan menerima geran daripada FELDA bagi kos modal tertakluk kepada nilai maksimum RM20,000 berdasarkan penilaian Agrobank. Kos operasi pula akan dibiayai oleh pihak Agrobank dengan jaminan daripada FELDA. Pelaksanaan projek akan diuruskan oleh pemain industri dengan pemantauan sepenuhnya oleh koperasi atau badan peneroka. Kos pembiayaan Agrobank hanya perlu mula dibayar oleh peserta apabila projek telah berhasil.
YB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Pengerusi FELDA yakin bahawa usahasama dengan Agrobank akan menjadi satu jalinan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga peneroka. Menurut beliau, “Secara keseluruhan, projek usahasama ini menyasarkan penglibatan 100 buah koperasi peneroka dan 500 individu.
Nilai keseluruhan usahasama ini adalah berjumlah RM100 juta dan dijangka akan memberi tambahan pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap peneroka dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu. Sehingga kini, projek-projek yang telah disenaraikan adalah projek penanaman nanas MD2, penanaman cili secara fertigasi dan penanaman halia muda dan tanaman-tanaman bernilai tinggi yang lain pada masa akan datang.”
Menurut Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank pula “Menerusi kerjasama ini, kami menghargai wawasan FELDA yang begitu komited sejak awal penubuhannya lagi dalam menjadikan industri pertanian sebagai tuas penting dalam pembangunan ekonomi negara dan pada hari ini, Program Pembangunan Peneroka ini akan membuka peluang baharu kepada komuniti peneroka untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan. Agrobank secara konsisten terus komited dalam memacu pengamalan konsep pembangunan golongan sasaran dan komuniti setempat dengan menyediakan pembiayaan yang menyeluruh kepada komuniti Agro yang merangkumi pembiayaan rantaian penuh atau full chain financing seperti pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna.”