Perkukuh Bekalan Makanan Negara – Agrobank Komited Bangunkan Ekosistem Agromakanan Sejajar Dengan Hasrat Belanjawan MADANI 2023
KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2023 – Sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan sekuriti bekalan makanan negara, Agrobank kekal komited membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memastikan pembangunan serta kelestarian ekosistem agromakanan negara kekal stabil seperti yang dinyatakan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena Belanjawan MADANI 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Malaysia kini berada pada kedudukan 41 daripada 113 buah negara dengan mata 69.9% dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (Global Food Security Index (GFSI)) 2022. Bagi aspek keselamatan makanan, dasar sekuriti makanan ini dinilai menerusi empat dimensi iaitu kesediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan merentasi rantaian nilai makanan.”
“Menerusi angka ini, Malaysia kini berada pada tahap sederhana dan pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi sekuriti makanan di Malaysia. Justeru, Agrobank bersedia untuk mejalinkan kerjasama strategik yang pelbagai bagi memastikan ekosistem agromakanan negara kekal terjamin. Usaha ini perlu dilakukan bersama merentasi pelbagai agensi serta syarikat korporat. Ini bagi memastikan simbiosis seumpama ini dapat membantu negara memastikan bekalan makanan di Malaysia mencukupi serta pada masa yang sama meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negara,” tambah beliau.
“Pembiayaan holistik yang ditawarkan Agrobank bagi merealisasikan hasrat murni ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank untuk meningkatkan kestabilan dan kelestarian jaminan bekalan makanan negara. Dalam pada keadaan, di mana terdapat negara-negara di dunia ini masih dihimpit dengan ketidakstabilan bekalan rantaian makanan, Agrobank terus komited dalam memainkan peranannya untuk membantu negara bagi memastikan bekalan makanan di Malaysia mencukupi sejajar dengan hasrat Malaysia Madani,” kata Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah.
Tambah beliau, “Pelbagai pakej pembiayaan yang ditawarkan Agrobank bagi memastikan pembangunan sektor agromakanan kekal mampan. Pada tahun 2022, Agrobank telah meluluskan sebanyak RM2.16 bilion pembiayaan yang memanfaatkan lebih 12,000 agropreneur khususnya usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merentasi pelbagai rantaian nilai pertanian huluan dan hiliran khusus untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan negara.”
Menurut beliau, selain daripada itu, Agrobank kekal komited dalam menarik minat generasi muda untuk mempelopori bidang pertanian dan industri makanan di Malaysia. Ini dilaksanakan menerusi pelbagai program bimbingan perniagaan serta pelbagai program-program pembiayaan khusus di bawah Agrobank bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan belia tampil menceburi bidang pertaniaan.
“Malaysia memerlukan lebih ramai belia untuk menjadi pelapis kepada sektor ini bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara di masa hadapan kekal stabil dan terus terjamin. Ini dilihat mampu mengurangkan kadar kebergantungan bekalan makanan import di samping dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka. Justeru sinergi ini perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan dengan lebih agresif lagi bagi memastikan kemampanan sektor agromakanan,” tambah beliau.
“Terdapat pelbagai pilihan yang disediakan dalam sektor pertanian ini di mana kesemuanya adalah sangat penting bagi membantu meningkatkan sekuriti makanan di Malaysia. KPKM juga giat mempromosikan sektor pertanian sebagai penggerak kepada kemampanan ekonomi negara dan sekali gus menjadikan ia salah satu cabang ekonomi yang menarik, merangkumi 3D – Dignified (Bermaruah), Desirable (Diingini), dan Dynamic (Dinamik).”
“Justeru, dalam menyokong KPKM, Agrobank bukan sahaja menawarkan perkhidmatan dan produk melibatkan pembiayaan dalam semua aktiviti pertanian huluan dan hiliran malah, Agrobank juga turut menawarkan bimbingan khidmat nasihat dalam memastikan agropreneur terus berdaya saing dan berjaya dalam sektor yang mereka usahakan.”
Usaha berterusan Agrobank dalam memastikan kesinambungan hasrat kerajaan agar Malaysia kekal stabil dalam sektor pertanian ini adalah sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara yang disarankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sekali gus memantapkan lagi agenda Malaysia Madani seperti yang disarankan menerusi Belanjawan MADANI 2023.